Friday, 12 September 2014

BOCOR...

Kertas soalan UPSR Sains dan BI didapati bocor dan pelajar terpaksa mendudukinya semula pada 30 Sepember ini. Saya bersimpati pada diri sendiri dan isteri serta semua ibu bapa yang telah melakukan yang terbaik dari semua aspek demi kecemerlangan anak. Ada ibubapa yang ambil cuti sampai 3 hari untuk menemani dan membaca Yasin semasa anak menduduki peperiksaan. Inilah caranya kita membantu dan memberi sokongan kepada anak-anak, bukannya menyogok mereka dengan soalan bocor.
Kesian ibubapa dan pelajar yang telah membuat perancangan awal semuanya tergendala. Namun ada hikmahnya kebocoran dikesan. Pihak yang bertanggungjawab membocorkan soalan tidak akan terlepas begitu saja. Sebaliknya guru yang memberi soalan bocor dan menyuruh pelajar menghafal bulat-bulat hanya memperbodohkan diri sendiri dan pelajarnya.
Pelajar yang rajin dan ikhlas membaca selama ini tak perlu risau. Mereka pasti dapat menjawab dengan yakin berbanding pelajar yang cuma hafal jawapan.
Walaupun kecemerlangan UPSR penting untuk pelajar tetapi kejayaan yang diperoleh dengan cara yang tidak bermoral tidak akan membawa pelajar ke mana. Imej KPM walaupun dah tercalar hendaklah memastikan kebocoran tidak berlaku lagi dalam mana-mana peringkat peperiksaan terutamanya PT3 yang mana keseluruhan sistemnya masih kabur dan akan berlangsung dalam tempoh terdekat ini. Yang pastinya saya tidak mau melalui keperitan ini untuk kali kedua!

Thursday, 28 August 2014

MR NOBODY

Sajak "Mr Nobody' dalam Komponen Kesusasteraan BI Tingkatan 1 mengajak kita untuk menjadi seorang yang jujur dan berani mengaku kesalahan atau kesilapan kita, bukannya menjadikan orang lain sebagai kambing hitam kerana tidak mahu bertanggungjawab atas kesilapan kita.
Dalam semua aspek kehidupan, kita janganlah menjadi orang yang suka lari dari tanggungjawab dengan mengambil jalan mudah mempersalahkan orang lain. Kita perlu berani mengakui dan menanggung akibatnya. Jika sesuatu keadaan yang tidak menyenangkan berlaku atas tindakan kita, maka kita hendaklah bertanggungjawab atas kesudahannya. Jika kita hanya tahu menyalahkan orang lain, keadaan tidak akan berubah sampai bila-bila dan hidup kita akan sentiasa resah. Ambillah iktibar dan perbaikilah kesilapan.

Friday, 2 August 2013

DILEMA GURU

Isu seorang guru yang dikatakan menghalau pelajarnya balik kerana tidak menyiapkan kerja sekolah baru-baru ini amat dikesali. Ia mewujudkan persoalan sejauhmana seorang guru berupaya menggalas tanggungjawab membimbing dan mendidik pelajarnya.
Saya berpendapat jika pelajar tidak menyiapkan kerja sekolah memang patut dia di denda samada merotan, mencubit atau menyuruhnya berdiri di belakang kelas sambil menyiapkan kerja sekolahnya. Kalau guru itu tidak mahu menggunakan denda fizikal, cara paling selamat ialah mengambil pendekatan berleter berbakul-bakul terhadap pelajar yang tidak menyiapkan kerja sekolah. Biar telinga pelajar hangus keluar asap sebagai pengajaran terhadap mereka.
Tidak dinafikan pelajar masa kini tidak sama dengan pelajar era 60 an. Pelajar sekarang kalau guna pendekatan berlembut tak makan saman Namun persoalan disini ialah wajarkah guru menghalau pelajar balik sebab tidak menyiapkan kerja sekolah.?
Pada pandangan saya, pelajar tidak patut dihalau balik rumah sebab tak siap kerja sekolah. Tanggungjawab seorang guru seperti yang digariskan dalam Tatasusila Profesion Keguruan Malaysia ialah mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar daripada hal-hal lain. Tindakan guru tersebut agak luarbiasa kerana dia telah bertindak di luar batas kuasanya disamping tidak prihatin dengan keselamatan pelajarnya. Andainya sesuatu perkara yang buruk terjadi kepada pelajar tersebut seperti kemalangan, disamun, diculik ataupun dirogol, maka guru itu perlu bertanggunjawab atas tindakannya itu dan menghadapi risikonya.
Saya yakin ibubapa tidak akan melenting atau buat laporan polis jika guru tidak keterlaluan mendenda anak mereka atas kesalahan yang dilakukan anak mereka di sekolah. Oleh itu guru-guru tak payahlah membuat komen terbuka di laman fb agar guru tak payah peduli pelajar yang tak siap kerja sekolah, lantaklah pi depa ini negara demokrasi. Inikah ciri-ciri seorang guru yang diamanahkan untuk mendidik anak bangsa? Dimanakah peranan guru sebagai pembentuk nilai positif terhadap pelajarnya?
Pelajar yang diamanahkan kepada kita menjelma dalam pelbagai saiz dan bentuk fizikal malah berlainan kecerdasan dan keupayaan. Sebagai guru kita hendaklah terima mereka seadanya tanpa dipengaruhi oleh jurang dan perbezaan di antara mereka. . Dalam ertikata lain seorang guru hendaklah bersedia menerima dan menghadapi segala masalah dan keperitan dalam liku-liku perjalananya sebagai guru dengan sabar, tenang dan hati terbuka.



Saturday, 22 June 2013

DI MANA SILAPNYA

Kajian menunjukkan tahap penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu (BM) di kalangan masyarakat Cina di negara kita tidak memuaskan. Beberapa faktor dikenalpasti antaranya sistem pendidikan vernakular dan sikap masyarakat Cina sendiri yang tidak menganggap BM sebagai penting dalam kehidupan mereka.
Di negara ini, hampir 90% pelajar Cina mendaftar di sekolah aliran Cina. Alasannya kerana sekolah Cina menyediakan taraf pendidikan dan disiplin yang lebih baik disamping ibubapa mahukan anak-anak mereka menguasai Bahasa Cina.
Apapun alasannya, hakikatnya ialah pelajar sekolah Cina hanya berkomunikasi antara satu sama lain dalam bahasa Cina. Malah segelintir pelajar Melayu dan India yang bersekolah di sekolah Cina juga bercakap dengan rakan-rakan menggunakan bahasa Cina. Justru, bila masanya pelajar Cina dari sekolah aliran Cina akan berkomunikasi dalam BM dan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka?
Lebih teruk lagi, masyarakat Cina umumnya menganggap BM tidak penting dan kegagalan menguasai BM tidak menjejaskan kehidupan mereka apatahlagi dengan kecenderungan dan penguasaan orang Cina dalam sektor swasta yang tidak memerlukan mereka berkomunikasi dalam BM. Sebaliknya matematik dianggap lebih penting berbanding BM. Malah orang Cina yakin mereka tetap akan mendapat kerja dengan hanya kebolehan bertutur dalam Bahasa Cina. Maka apa gunanya mereka nak susah payah belajar BM? Pendekata mereka anggap tidak perlu bergantung kepada bahasa Melayu untuk mendapat kerja. Percakapan bahasa Melayu mereka bukan sahaja tersangkut-sangkut malah pengalaman saya berhadapan dengan pelajar Cina yang tak tau sebut “lembu’ dalam bahasa Melayu amat menyedihkan. Dalam pada itu, apakah mereka pernah terfikir peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan semangat patrotisme terhadap negara dalam jiwa mereka?
Saya berpendapat sistem pendidikan negara kita yang telah menyumbang kepada masalah ini. Maka kerajaan hendaklah bertindak untuk menghapuskan sekolah vernakular dan digantikan dengan sekolah satu aliran dengan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Bukankah cara ini dapat meningkatkan tahap penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar Cina disamping sebagai alat mengeratkan perpaduan kaum?
Akhirkata, tidak ada satu pun negara di dunia ini memberi begitu banyak ruang dan kelonggaran kepada golongan minoriti seperti di Malaysia. Orang Cina di Thailand bertutur bahasa Siam yang merupakan bahasa kebangsaan. Keadaan yang sama juga berlaku di Indonesia, Filipina, Vietnam dan beberapa negara lain. Maka bahasa Melayu juga harus melambangkan identiti negara kita dan digunakan secara meluas oleh semua lapisan rakyat.

Saturday, 25 May 2013

PAHIT TAPI BENAR

PRU13 telah berlalu. Bermacam-macam analisis dibuat terutamanya oleh pihak pembangkang yang kalah dalam pilihanraya tersebut. Sebenarnya tak salah nak buat analisis biar pecah kepala pun, tetapi kenapa tak boleh terima hakikat rakyat telah membuat pilihan untuk memberi mandat kepada BN kembali memerintah.
Persoalan sekarang ialah mengapa orang Cina bersatu dan berpakat memberi undi kepada PR terutamanya DAP dalam PRU13? Bukankah kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk orang Cina? Adakah benar dakwaan orang Cina tolak kerajaan kerana ia tidak bersih, tidak telus dan rasuah? Atau adakah kerana orang Cina adalah bangsa yang tidak tahu mengenang budi dan jasa kerajaan?
Pada pengamatan saya, semua itu tidak benar dan tidak tepat. Hakikatnya cuma satu sahaja iaitu orang Cina hanya mahukan layanan kesamarataan antara kaum sepertimana diperjuangkan oleh parti DAP dan sokongan mereka yang tidak berbelah-bahagi kepada PR dalam PRU13 adalah kerana telah diberi keyakinan dan kepercayaan oleh PR dan NGO pro-pembangkang serta suratkhabar Cina bahawa hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera akan dihapuskan jika PR menang kali ini. Habuannya ialah orang Cina akan mendapat peluang yang adil dan samarata dalam pendidikan dan perniagaan mahupun dalam bidang-bidang yang lain. Inilah 1 agenda 1 aspirasi yang tersemat dalam jiwa dan sanubari orang Cina dan buktinya dapat dilihat dalam corak mengundi orang Cina dalam PRU13. Mereka tidak peduli lagi sejarah negara dan Perlembangaan Negara. Mereka lupa asal-usul nenek moyang mereka. Mereka lupa walaupun mereka golongan minoriti dengan hanya lebih kurang 25% jumlah populasi di Malaysia, mereka tetap diberi hak dan kebebasan untuk mencari dan menikmati keselesaan hidup yang mana ini hampir mustahil bagi golongan minoriti di negara lain. Mereka lupa hanya di negara ini ada sekolah vernakular Cina yang dibantu kerajaan. Mereka lupa hanya di negara ini dibenarkan penerbitan akhbar dalam bahasa Cina yang memuatkan unsur provokasi dan memburukkan kerajaan. Sebaliknya mereka mendakwa demokrasi sudah mati di negara ini. Agaknya merekalah yang mati jiwa dan akal.
Orang Cina nak cakap pasal integriti dan ketelusan tapi realitinya adakah orang Cina berpegang kepada nilai-nilai tersebut dalam kehidupan mereka? Apakah yang menjadi pegangan mereka dalam memperkatakan tentang nilai-nilai tersebut? Konsep ketuhanan dan agama mereka sendiri adalah kabur dan kurang jelas malah mengelirukan. Pengamatan berdasarkan pengalaman di dalam lingkaran kelompok mereka sekian lama menampakkan orang Cina tidak memandang soal integriti dan ketelusan sebagai nilai yang penting dan utama dalam kehidupan mereka. Mereka lebih pentingkan diri dan sanggup menggadaikan integriti dan ketelusan andainya boleh beroleh keuntungan, lebih-lebih lagi dalam soal wang yang mereka sangat gilakan. Mereka berani bercakap tentang ketelusan sedangkan pemilihan jawatan dalam CEC parti DAP sendiri dicemari dengan unsur manipulasi dan ketidaktelusan.
Amat jelik sekali apabila orang Cina bercakap bahawa mereka anti rasuah dan mahukan sebuah kerajaan yang bebas rasuah. Dalam PRU13, orang Cina memberi sokongan padu kepada pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang mereka sendiri kecam sebagai kaki rasuah masa bersama BN dahulu. Apa justifikasinya dengan memberi undi kepada orang yang mereka sendiri iktiraf sebagai kaki rasuah, menyalahgunakan kuasa dan tidak bermoral? Mabukkah orang Cina tak sedar berlaku kes penyelewengan, rasuah dan kronisme melibatkan projek dan urusniaga di kalangan ahli-ahli politik parti pembangkang di Perak dan Selangor. Walaupun baru satu penggal memerintah, perut dah boroi kerana dah 'makan' kenyang-kenyang.
Persoalannya ialah siapa sebenarnya menjadi agen rasuah? Mengapa tidak tanya kepada tauke-tauke perniagaan Cina siapa sebenarnya mempunyai keupayaan dan kuasa daya memberi rasuah? Adakah amalan memberi rasuah itu bukan sebahagian daripada dunia perniagaan Cina termasuk urusan yang ada kaitan dengan pejabat-pejabat kerajaan? Tak tau kah orang Cina dengan menaja seseorang untuk percutian, hiburan, khidmat sex, makan besar dan lain-lain atas kepentingan urusan perniagaan mereka juga satu bentuk rasuah?
 Justeru, orang Cina haruslah bersikap jujur dan jangan hipokrit, jangan berpura-pura dengan mengatakan mereka mengundi PR kerana mereka anti-rasuah, kerana nak ketelusan dan integriti. Kesemua itu adalah palsu dan pembohoingan semata-mata ibarat meludah ke langit, terpalit ke muka sendiri. Tepuk dada dan tanya siapa sebenarnya pelopor rasuah di negara ini?
Dalam banyak hal orang Cina sangat berkira. Mereka bijak dalam membuat percaturan politik untuk kepentingan bangsa mereka. Beranikah orang Cina menidakkan bahawa perjuangan mereka adalah semata-mata untuk hak dan layanan samarata berdasarkan merit dalam semua aspek merangkumi politik, sosial dan ekonomi di negara ini yang mereka anggap sebagai satu diskriminasi kepada orang Cina selama ini?
Atas perkiraan itu wajarkah orang Melayu memberi sokongan kepada hasrat dan agenda kaum Cina? Namun, keputusan PRU13 menjadi saksi betapa orang Melayu telah banyak menyumbang kepada kejayaan PR. Persoalannya ialah mengapa ada orang Melayu sampai begitu bendul sekali?
Akhir kata, dalam konteks hubungan kaum di Malaysia, sifat perkauman begitu menebal dalam jiwa dan minda setiap kaum. Maka hubungan antara kaum di negara kita akan sentiasa berada dalam keadaan tegang dan selamanya dipisahkan sebagai kaum yang berbeza dan bukannya satu bangsa Malaysia.
Dalam aspek ini, amat penting bagi kerajaan menangani isu perkauman dengan cekap dan berkesan. Penggunaan Akta Hasutan 1948 amat wajar dan relevan dalam konteks ini. Kerajaan hendaklah tegas dan jangan tunduk kepada golongan tertentu terutamanya dari pihak NGO dan parti pembangkang kerana isu perkauman adalah sesuatu yang amat sensitif dan boleh mengancam kestabilan negara. Pihak keselamatan di negara kita terutamanya PDRM perlu lebih agresif dalam menghadapi demonstrasi haram sepertimana kekerasan polis di sesetengah negara menangani dan mengawal demonstrasi jalanan yang bertujuan mencetuskan sentimen perkauman. Tindakan dan cara mereka harus digunapakai oleh PDRM. Mereka yang mencetuskan demonstrasi haram adalah perosak dan pengkhianat negara yang tidak harus diberi ruang dan peluang untuk menonjolkan sikap biadap dan kurang ajar mereka. PDRM janganlah terlalu berlemah-lembut dalam menangani golongan ini. Semoga Malaysia yang kita cintai terus aman sentosa dan selamanya dilindungi daripada mereka yang gila kuasa dan cauvanis.

Saturday, 20 April 2013

GURU ANTI KERAJAAN BHG 2

Perkara 1.2 Lampiran C (Perkara 5.0) Surat Aku Janji untuk Pegawai Awam menegaskan kakitangan kerajaan dikehendaki menumpukam kesetiaan dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada kerajaan yang memerintah (government of the day) serta dasarnya tanpa mengira parti yang berkuasa. Pegawai yang menentang atau mengkritik serta mempersoalkan dasar negara dan kerajaan akan merosakkan kebolehpercayaan dan keutuhan perkhidmatan awam keseluruhannya. Dalam ertikata lain kakitamgan kerajaan dilarang memburuk serta memperkecilkan dasar dan tindakan Kerajaan.
Justeru, kerajaan melaksanakan Surat Aku Janji kerana kerajaan mendapati wujudnya pemikiran dan tindakan segelintir kakitangan awam yang secara terang-terangan mengambil sikap tidak setia dan kerap memburukkan kerajaan yang memerintah.
Namun, bolehkah kakitangan awam yang berhaluan kiri, yang taksub dan fanatik kepada ideologi dan perjuangan parti politik pembangkang, yg telah mengabadikan seluruh jiwa dan raganya untuk menyokong dan menerima perjuangan parti politik pembangkang berupaya untuk memberi sokongan sepenuhnya dan taat setia kepada kerajaan?
Tidakkah dengan melemparkan tuduhan liar dan tidak berasas terhadap kerajaan setiap kali ‘berceramah’ di bilik guru, di kantin atau dalam kawasan sekolah yang lain mencerminkan penentangan terhadap kerajaan sekaligus mejejaskan kredibiliti dan keutuhan kerajaan?
Sebenarnya golongan ini keliru dan tidak dapat membezakan antara bidang tugas seorang kakitangan kerajaan dengan konsep taat setia dan sokongan kepada kerajaan. Bidang tugas seorang kakitangan kerajaan sudah tentu untuk menjalankan tugas di bidang masing2 samada sebagai seorang guru, askar, doktor, polis dan sebaginya. Itu adalah tugas hakiki dan tidak perlu dipersoalkan kerana kalau tak suka kerja dengan kerajaan boleh blah bila-bila masa, Namun dalam menjalankan tugas sebagai seorang kakitangan awan, tugas dan konsep taat setia kepada kerajaan yang menggaji kita adalah dua perkara yang berbeza.
Amat menyedihkan apabila ada guru kanan matapelajaran yang lantang membuat tohmahan bahawa belanjawan 23 Oktober 2010 amat memalukan dan penuh dengan rasuah. Apa tidaknya, guru tersebut berasa ‘kehilangan’ kerana durian yang ditunggu-tunggu tak runtuh. Dalam ertikata lain, tindakan kerajaan tidak memberi bonus sebulan kepada kakitangan awam pada belanjawan masa itu dianggap suatu kerugian besar kepada mereka. Ibarat cacing kepanasan, direkanya tohmahan dan fitnah kononnya kerajaan dah hampir muflis dan macam-macam lagi. Bukankah ini ciri-ciri seorang kakitangan awam yang tidak menyokong tindakan kerajaan dan tidak setia kepada kerajaan walaupun dia menjalankan tugas mengajar?
Terdapat guru yang diamanahkan untuk menggubal soalan peperiksaan sekolah bagi matapelajaran matematik telah memasukkan unsur politik dalam soalan peperiksaan tersebut. Ada juga golongan pentadbir yang secara terang-terangan menghentam kerajaan dalam kawasan sekolah tapi dinaikkan pangkat ke jawatan pengetua dan kemudiannya menjawat jawatan PPD. Malah, pernah ada ustaz yang menghasut pelajar yang mendiami asrama desa supaya tidak mengambil makanan yang disediakan dengan mendakwa makanan tersebut haram kerana ditaja oleh kerajaan. Di mana letaknya taat setia dan kredibiliti mereka sebagai seorang kakitangan awam? Bukankah tindakan mereka ini telah memburukkan dan mencemarkan imej perkhidmatan awam?
Adakah kakitangan awam yang memburukkan dan memperkecilkan tindakan kerajaan dengan mengatakan kerajaan rasuah dan akan muflis kerana memberi bantuan kepada rakyat seperti BRIM, Bantuan Persekolahan RM100 kepada setiap murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5, Baucar Buku RM250 untuk pelajar IPT dan Tingkatan Enam dan lain-lain boleh dikategorikan sebagai seorang yang taat setia yang mendokong dan menyokong segala program dan tranformasi kerajaan?
Adakah tindakan memperlekehkan dan menghina dasar negara kita dengan membuat perbandingan yang berat sebelah dengan dasar negara lain seperti Australia boleh dianggap mempunyai semangat patriotisme dan memelihara nama baik kerajaan? Begitu juga dengan kakitangan kerajaan yang mempersoalkan dasar dan tindakan kerajaan membeli jet pejuang dan isu royalti minyak di Kelantan menampakkan penentangan secara terang-terangan terhadap dasar dan tindakan kerajaan. Tindakan ini jelas melanggari Perkara 4.1.1 (4) Frasa 1 Surat Aku Janji.
Bukankah dengan melabel pemimpin yang telah banyak berbakti dan berjasa membangunkan negara seperti Tun Mahathir membawa kerosakan kepada negara sebagai suatu niat jahat bertujuan untuk memburukan peminpin tertentu kerana kepentingan politik.
Begitu juga dengan menuduh kerajaan sebagai proksi kepada parti politik tertentu apabila berlaku kekecohan telah mencemarkan keutuhan dan kewibawaan kerajaan yang sepatutnya mereka pertahankan.
Adalah jelas golongan ini bersikap anti kerajaan dan memutarbelitkan kenyataan tanpa rasa tanggungjawab dengan tujuan menghasut orangramai untuk membenci kerajaan dan menerapkan aspirasi politik parti pembangkang. Tidak ada sedetik pun perasaan taat setia dan menyokong kerajaan yang menggaji mereka. Semua yang tidak kena pada mereka adalah salah kerajaan. Kalau anak dia malas belajar dan tak lulus periksa itu pun pasti salah kerajaan.
Tidakkah mereka sedar sebarang tindakan dan kegiatan anti kerajaan akan memberi impak yang negatif terhadap kerajaan serta menjejaskan imej dan integriti kerajaan dan jelas melanggar Perkara 1.2 Lampiran C Surat Aku Janji untuk Pegawai Awam.
Setiap seorang dari kita punya hak untuk buat pilihan parti mana yang kita sokong kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan. Nak tentang parti UMNO boleh, tapi lakukannnya secara senyap-senyap melalui peti undi dalam pilihanraya bukannya ‘menyalak’ tak tentu pasal di laman sosial atau di premis kerajaan yang menggaji mereka. Dalam ertikata lain, mereka kena tutup mulut pasal politik lebih-lebih lagi politik anti-kerajaan selagi mereka bergelar kakitangan kerajaan.
Kakitangan kerajaan terutama guru mesti bertanggungjawab untuk mendokong dan menjayakan semua dasar dan program transformasi kerajaan. Bukan setakat menjalankan tugas mengajar sebaliknya bersifat talam dua muka, umpama kacang lupakan kulit, umpama pagar makan padi!!!

Saturday, 6 April 2013

TUISYEN

Pandangan rakan sekerja mengatakan bahawa tuisyen tidak diperlukan kerana anaknya tidak pernah menghadiri kelas tuisyen dan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan adalah tidak logik dan tidak rasional.
Hujah beliau ialah jika anaknya boleh mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan tanpa menghadiri kelas tuisyen, maka orang lain juga tidak perlu menghadiri kelas tuisyen. Premisnya ialah keputusan peperiksaan menjadi tidak baik kerana menghadiri kelas tuisyen.
Adalah jelas bahawa hujah beliau adalah suatu falasi yang merujuk kepada sebab yang salah. Beliau cuba menerangkan suatu keadaan iaitu tidak perlu menghadiri kelas tuisyen dengan memperlihatkan suatu keadaan yang berlaku sebelumnya iaitu anaknya mendapat keputusan baik tanpa perlu menghadiri kelas tuisyen.
Sebenarnya tiada pertalian yang sebenar antara dua keadaan atau situasi tersebut. Keputusan cemerlang anaknya dalam peperiksaan boleh disebabkan faktor-faktor seperti baka atau genetik, keadaan persekitaran di sekolah dan di rumah, pengaruh rakan sebaya, kemudahan belajar yang selesa, galakan dan sokongan moral ibubapa, pemakanan dan lain-lain lagi. Sebaliknya anaknya berkemungkinan mendapat keputusan yang jauh lebih cemerlang sekiranya menghadiri kelas tuisyen.
Jadi tidak ada pertalian antara keputusan peperiksaan anaknya dengan kelas tuisyen kerana seseorang mungkin tidak menghadiri kelas tuisyen dan keputusan peperikssannya tetap tidak baik kerana factor-faktor lain.
Justru, jika seseorang itu yakin bahawa tuisyen boleh membimbing dan membantunya meningkatkan prestasi dengan lebih berkesan, maka tidak ada sebab mengapa tidak perlu menghadiri kelas tuisyen. .

Friday, 29 March 2013

CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah adalah waktu yang sangat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh para pelajar tetapi juga guru-guru. Cuti sekolah sangat menggembirakan kerana inilah peluang untuk melapangkan fikiran dan menenangkan minda. Ibubapa berkesempatan membawa anak-anak jalan melihat tempat orang. Bak kata orang, jauh perjalanan luas pengalaman. Bagi diri saya, cuti sekolah kali ini membawa pengalaman yang kurang menyenangkan.
Walaupun pada cuti ini saya perlu menghadiri kursus Pro-ELT yang agak ‘stress’ buat diri saya, apa yang menyedihkan ialah apabila emak saya dimasukkan ke hospital di Pulau Pinang akibat menderita penyakit ‘osteoporosis’ pada tahap kronik. Walaupun dia sudah dibenarkan pulang, keadaan kesihatan emak saya agak tenat dan lemah. Sedih sangat melihat keadaan emak saya. Tidak banyak yang dapat saya membantu, namun saya yakin kehadiran saya di saat-saat begini sangat bermakna buat emak saya.
Apapun saya bersyukur apabila doktor memberitahu harapan untuk emak saya pulih tetap ada walaupun ia mengambil masa dan tidak dapat dipulihkan sepenuhnya. Saya sedar emak saya memerlukan perhatian dan penjagaan rapi kerana penyakitnya itu selain usianya yang sudah lanjut. Harapan saya ialah dapat lebih kerap mengunjungi emak saya di sana. Dalam pada itu, saya hanya mampu berdoa agar emak saya akan cepat sembuh dan diberi kesihatan yang baik.

Saturday, 9 March 2013

PENCEROBOHAN LAHAD DATU

Tanggal 1 Mac 2013, satu catatan sejarah hitam terpahat di Lahad Datu, Sabah. Pencerobohan tentera Kesultanan Sulu merupakan satu peristiwa berdarah yang amat malang buat negara kita khasnya pasukan keselamatan yang terkorban mempertahankan kedaulatan negara kita.
Namun di sebalik insiden pencerobohan itu, wujud golongan ‘pengkhianat’ yang mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi dan tidak bertanggungjawab, memperlekehkan kemampuan dan kebolehan komando kita dan memuatkan karikatur membandingkan Perhimpunan 'Haram" Bersih dan insiden di Lahad Datu dalam FB yang jelas memberi gambaran kerajaan tidak adil dan bersikap diskriminasi dalam menangani kedua-dua insiden tersebut. Kenyataan dan tindakan mereka itu jelas berbaur hasutan dan memperkecilkan tindakan pihak kerajaan dalam menangani isu tersebut. Tindakan mereka ini jika dibiarkan akan mewujudkan budaya kurang ajar dan hilang kesetiaan kepada negara disamping boleh menimbulkan kekeliruan dan perasaan marah serta benci di kalangan rakyat. Maka pihak berkuasa hendaklah segera mengambil tindakan tegas dan ‘mengajar” golongan tersebut. Jangan kasi muka kepada golongan yang tidak tahu bersyukur dan berterimakasih ini!!! Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya!
Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menghargai dan memandang tinggi pengorbanan anggota keselamatan yang sanggup mengorbankan nyawa demi kedaulatan negara. Tak sedarkah golongan itu bahawa pengorbanan pasukan keselamatan negara membolehkan mereka mengecapi keselesaan hidup di negara kita?
Mencintai negara adalah satu kewajipan.. Maka kita hendaklah mencurahkan cinta kita kepada negara kita sepenuh hati dan perasaan. Cinta dan Setia kepada negara harus dipupuk dalam jiwa dan hati nurani kita. Jangan kita lupa akan semangat dan prinsip kedua Rukunegara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Akhir kata, takziah kepada ahli keluarga wira negara yang terkorban dan Al-Fatihah buat wira negara yang terkoran.
                                     

Friday, 15 February 2013

TAHUN BARU CINA

Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, tahun ini merupakan Tahun Ular dalam kalendar Cina. Bagi orang Cina, setiap binatang zodiac itu mempunyai keistimewaan masing-masing dimana ia melambangkan keperibadian setiap individu yang lahir pada tahun tersebut. Simboliknya tahun ular ialah ia membawa maksud  pintar, bijaksana dan penggoda.
Sebagaimana istimewa dan simboliknya ular dalam kehidupan orang Cina, dalam masyarakat Melayu sendiri juga terdapat peribahasa yang mengandungi nasihat dan ajaran yang boleh dijadikan pedoman hidup. Umpamanya, “Tak akan hilang bisa ular yang menyusur di bawah akar.”, “ular berlingkar di gulungan tikar”, “ular kepala dua” dan sebagainya.
Di sebalik kepercayaan itu, saya amat bersyukur dan gembira kerana dapat meraikan sambutan Tahun Baru Cina kali ini bersama emak dan adik beradik saya di Pulau Pinang. Memang bertuah hidup di Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya. Rakyat bebas mengamalkan agama dan budaya masing-masing dalam suasana harmoni dan muhibah tanpa rasa takut dan cemas. Semoga Tahun Ular ini akan membawa tuah, keamanan, kebahagiaan dan keberkatan hidup untuk semua. Gong Xi Fa Cai kepada semua kaum Cina, khususnya pengunjung blog saya..

Friday, 8 February 2013

TIDAK SELAMATKAH KITA?

Entri saya kali ini adalah respon kepada posting dalam FB SMKPJ yang memperkatakan tentang persoalan keselamatan awan di negara kita. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa negara kita tidak 'selamat' dan 'aman' untuk diduduki malah dibandingkan dengan keadaan sosial di Gaza yang dibelenggu peperangan dan pergolakan politik.
Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur dan bangga kerana dapat hidup dalam sebuah negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai negara yang paling selamat dan aman di rantau Asia Tenggara serta menduduki ranking ke 12 di dunia. Walaupun negara kita tidak 100% selamat dari segi keselamatan awam, jangan kita lupa tidak ada satu negara pun di dunia yang bebas daripada jenayah. Sebaliknya kita harus memberi sokongan penuh dan menaruh keyakinan tinggi terhadap kerajaan yang komited untuk memerangi jenayah dengan melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan NKRA mengurangkan jenayah.
Adalah tidak wajar dengan hanya bersandarkan satu insiden di Gaza, ia dijadikan indicator untuk memperkatakan tentang tahap kesejahteraan sosial dan keselamatan awam di negara kita. Pada pendapat saya, selagi kita tidak hidup dalam ketakutan belenggu peperangan dan pergolakan politik seperti di Mesir, Syria atau di Semenanjung Gaza, selagi kita tidak ditindas seperti etnik Rohingya di Myanmar, selagi tidak berlaku kejadian tembak seperti di Sandy Hook Elementary School, Connecticut, Amerika Syarikat, yang mengorbankan nyawa 20 kanak-kanak dan 6 orang dewasa, maka kita hendaklah sentiasa bersyukur dengan tahap keselamatan dan limpahan rezeki yang kita sedang kecapi di bumi tanah tumpah darah kita. Tidak mungkin kita dapat mengecapi kemewahan dan keselesaan hidup andainya negara menghadapi ketidaktenteraman sosial khususnya isu jenayah. Janganlah kita memperlekehkan atau memandang sepi kesejahteraan sosial dan keselamatan awam di negara kita dari sudut yang sempit dan negatif kerana agenda tertentu. Ingatlah bahawa isu jenayah adalah bersifat global dan pengaruhnya merentasi sempadan negara.

Friday, 1 February 2013

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL


Sempena dengan sambutan Maulidur Rasul 12 Rabiu'awwal 1434, pihak sekolah telah menganjurkan acara perarakan Maulidur Rasul dari perkarangan sekolah ke Masjid Pulau Sepom, Tikam Batu. Sesungguhnya banyak kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka yang mengadakan majlis Maulidur Rasul.
Sebagai orang Islam, kita harus memberi sokongan penuh kepada sambutan ini sebagai tanda saying dan cinta kita kepada Nabi Muhammad S.A.W. Semua pihak hendaklah sama-sama melapang hati dan fikiran untuk menghayati sambutan Maulidur Rasul. Sebagaimana kita bersedia berkorban masa berkumpul tanpa banyak bersoal untuk menyambut menteri dalam program bersama pemimpin, maka lebih-lebih lagi kita harus melakukannya terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sebagai umat Islam, kita hendaklah mengutamakan kasih dan sayang kita kepada Nabi Muhammad S.A.W. Yakinlah bahawa Allah akan melindungi mereka yang melakukan sesuatu yang baik ke jalan Allah atau menganjurkan sebarang acara untuk memartabatkan dan menyemarakkan kesucian dan kemuliaan Islam.

Saturday, 5 January 2013

POST MORTEM PMR 2012


Impian dan harapan pihak sekolah untuk mengecapi kejayaan cemerlang dalam keputusan PMR 2012 tidak kesampaian. Walaupun usaha telah dilakukan kearah peningkatan prestasi, beberapa matapelajaran termasuk BI menyaksikan penurunan dari segi peratus kelulusan.
Pada pandangan saya, tidak ada masalah dalam semua aktiviti, program, strategi dan perancangan untuk peningkatan prestasi BI di sekolah. Masalah sebenarnya ialah pelajar tidak ada asas (foundation) Bahasa Inggeris yang kukuh.
Asas BI yang kukuh tidak dapat dibina dengan sekadar menghadiri kelas tambahan atau menyertai program peningkatan prestasi di sekolah. Ia tidak dapat dilakukan dalam jangkamasa sehari, seminggu atau sebulan. Ia harus bermula dari sekolah rendah iaitu Tahun 1 lagi. Sebaliknya penggunaan BI harus dipraktikkan setiap hari secara berterusan, bukan sahaja di sekolah malahan semasa di luar sekolah, di rumah, dimana-mana sahaja. Pendekata ia harus dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita. Kalau seseorang itu berazam dan berusaha bercakap dalam BI setiap hari, dengan sendirinya dia akan dapat mengasah dan memahirkan penguasaan BI. Tidak ada jalan pintas untuk menguasai BI. Tanpa asas BI yang kukuh adalah sukar bagi pelajar menguasai BI dan mencapai keputusan yang cemerlang.
PPSMI menemui kegagalan bukan kerana tidak cukup prasarana atau kelengkapan pembelajaran. Hakikatnya ialah guru-guru  tidak mampu mengajar dalam BI dan pelajar sendiri tidak ada asas BI yang kukuh yang menyumbang kepada kegagalan PPSMI.
Apapun, para guru tidak akan putus asa dan pasti akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan kecemerlangan sekolah seterusnya menjayakan misi dan visi sekolah. Sokongan dan kerjasama yang lebih baik dari pihak pentadbir kebelakangan ini, telah menaikkan tahap keyakinan dan motivasi di kalangan guru. Semoga PMR 2013 akan membawa sinar kejayaan dan kecemerlangan buat SMKPJ. Semoga impian dan harapan kali ini akan menjadi kenyataan. Amin.

Friday, 12 October 2012

ISLAM: ISU DAN PERSOALAN

Pengalaman, pergaulan dan pemerhatian saya dengan orang bukan Islam sebelum dan selepas saya memeluk Islam membuatkan saya lebih memahami dan mengenali reaksi dan persepsi orang bukan Islam terhadap agama Islam secara keseluruhan.
Bagi diri saya, perkongsian ilmu agama antara org Islam dan bukan Islam hanya berlaku apabila wujud pertukaran pendapat secara interaktif antara orang bukan Islam dgn org Islam ttg kepercayaan agama masing-masing untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai sesuatu agama. Sekadar mencelup satu artikel ttg Islam di Internet contohnya berkaitan hukum hudud dan diposkan ke fb bukanlah perkongsian ilmu antara agama. Lagipun Itu bukan idea atau pendapat dia malahan bukan kepercayaan atau pegangan agama dia. Apa yang nak dikongsi sebenarnya?
Saya tidak mempertikaikan keesahan artikel itu malah tidak mengatakan artikel itu tidak perlu dibaca. Yang merisaukan ialah mungkin ada di kalangan mereka yang cuba mendekati isu tersebut kerana inginkan populariti. Mungkin juga ada mereka yg cuba mengambil kesempatan untuk melagakan pandangan sesama orang Islam. Lihatlah saja mereka saling menyokong antara satu dengan yg lain. Dunia Islam sudah punya banyak musuh yang selalu memburukkan Islam dan menimbulkan kekeliruan terhadap ajaran Islam seperti dalam filem “Innocence of Muslims” yang di kutuk oleh masyarakat Islam sedunia. Sebaliknya apakah respon dari mereka yang bukan Islam? Fikirkan.
Islam itu syumul iaitu agama yang lengkap dan menyeluruh. Tahap keyakinan orang Islam terhadap agama Islam dan ajaran Islam adalah 100%. Mudah-mudahan tulisan saya ini dapat meleraikan kekusutan di dalam perbincangan isu dan persoalan ttg Islam..

Wednesday, 19 September 2012

PENILAIAN MENENGAH RENDAH

Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 akan menjelang tidak lama lagi. Pihak sekolah dan guru menaruh harapan yang tinggi terhadap prestasi dan pencapaian pelajar dalam PMR. .Mereka menyimpan segunung impian, menghimpun sejuta harapan agar pelajar berjaya dengan cemerlang.
Walaupun tempoh peperiksaan PMR hanya lebih kurang selama satu minggu, pengaruh dan kesannya ke atas corak kehidupan seorang guru amat besar dan menakjubkan. Kehidupan seorang guru menjadi tertekan, cemas, risau, gelisah dan ada yang jatuh sakit.
Mereka bertungkus-lumus mengorbankan masa dan tenaga melaksanakan pelbagai program semata-mata untuk meningkatkan prestasi dan memastikan kecemerlangan pelajar dalam PMR.
Namun adakah pelajar-pelajar berfikir sejenak, kejayaan cemerlang mereka dalam PMR nanti dapat memberi kegembiraan dan kepuasan hati serta membanggakan guru mereka? Sebaliknya sikap mereka yang melepaskan batuk di tangga dalam persediaan menghadapi PMR amat mengecewakan.
Para guru telah melakukan yang terbaik dalam persediaan pelajar menghadapi PMR. Terpulang kepada pelajar untuk menggalas impian dan harapan guru. Kini hanya doa dan tawakal daripada guru kepada Allah SWT mengiringi pelajar untuk mencapai kejayaan. Kepada para pelajar, berusahalah sebaik mungkin, insyaallah akan beroleh kejayaan. Amin..

Friday, 10 August 2012

HALIA TUA

Novel karya Ernest Hemingway "The Old Man And The Sea" memperlihatkan kisah perjuangan seorang tua yang tidak mengenal erti kekalahan, meskipun sudah tua usianya, tetapi  keberanian dan keyakinan  tinggi yang dimilikinya, serta kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi perjuangan, maka dia telah mencapai kejayaan di akhir sebuah perjuangan yang begitu hebat dan mencabar. 
Kita seharusnya mengambil ikhtibar dari kisah ini bahawa orang yang sudah meningkat tua sebenarnya punya banyak kelebihan tersendiri, banyak pengalaman hidup, banyak asam garam kehidupan ibarat halia yang banyak faedah dan kegunaannya, makin tua makin pedas...maka hormatilah orang yang lebih tua dari kita sesungguhnya ia merupakan amalan yang wajib dan mulia di sisi agama.

Friday, 20 July 2012

RAMADHAN

Saya tertarik dengan rancangan ‘Tanyalah Ustaz” di TV9 pada pagi Jumaat dengan tajuk "Keindahan Ramadhan". Antara lain ia membicarakan bahawa hidup ini terlalu singkat, janganlah kita penuhkan dengan sengketa dan airmata. Dalam kesingkatan masa ini, kita haruslah banyak bersabar dan redha dengan ketentuanNya.
Saya bersyukur kepada Allah swt kerana diberi peluang untuk bertemu bulan Ramadhan sekali lagi. Saya berasa gembira kerana masih diberi peluang untuk merebut pahala di bulan yang mulia ini.
Kita tidak diberi jaminan akan bertemu Ramadhan pada tahun hadapan, jadi buatlah yang terbaik selagi masih diberi peluang. Hidup di dunia ini hanyalah sementara. Yang kekal adalah di akhirat. Maka bawalah isteri dan anak-anak mahupun sanak-saudara untuk sama-sama memburu pahala Lailatulqadar dan mengimarahkan masjid di bulan yang mulia ini.
Samada Allah nak bagi pahala atau tidak, itu Allah yang tentukan, bukan hak kita untuk menuntut. Jadilah hamba Allah, bukan jadi kuli Allah. Jadikan bulan Ramadan untuk beribadah bukan untuk juadah. Sambutlah kedatangan Ramadhan dengan kegembiraan dan tangisilah apabila Ramadhan meninggalkan kita.
Di kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Menyambut bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam, khususnya pengunjung blog saya. Semoga Ramadhan tahun ini membawa lebih keberkatan kepada kita semua.

Thursday, 12 July 2012

REZEKI

Pertama sekali aku ingin memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana semakan keputusan urusan kenaikan pangkat secara online memaklumkan aku telah berjaya mendapat kenaikan dari Gred DG44 ke Gred DG48. Aku amat gembira dengan rezeki yang Allah berikan untuk ku. Aku berharap kegembiraan ini dapat di kongsi bersama rakan sekerja dan bukannya berasa dengki atau bermasam muka dengan kenaikan pangkatku.
Sebenarnya tiada sebab untuk seseorang bersikap demikian kerana setiap guru tetap akan mendapat kenaikan pangkat apabila sudah sampai tempohnya. Sabar je kerana Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar. Sebagai orang Islam, kita harus terima bahawa rezeki itu ialah jaminan akan tanggungan Allah SWT, yang akan diberikan kepada setiap orang.
Dulu masa rakan-rakan sekerja dapat guna pakai formula ex-PPLD 7+3 untuk kenaikan pangkat Gred DG41 ke DG44 aku terlepas kerana dah pun masuk DG44 ikut time-based 10 tahun. Aku agak kecewa namun setelah beberapa tahun kemudian baru aku nampak hikmahnya kenapa tak dapat rezeki guna formula tersebut pada masa itu. Rupa-rupanya dengan keizinanNya, aku diberi rezeki yang lebih baik dengan kenaikan pangkat ini. Ingatlah rezeki Allah sentiasa ada untuk kita. Kalau kita masih belum menerima rezeki pemberian dari Allah swt kita bersabar. Sebaliknya kita hendaklah bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah pada kita, tak kiralah apa yang kita dapat tu banyak atau sikit. Apa yang penting ialah kita bersyukur dan berterima kasih dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita.

Saturday, 7 July 2012

TABIAT MEMBACA


Tiada siapa boleh menafikan membaca amat penting untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Malah ungkapan “Membaca Jambatan Ilmu” sering kali di gunakan untuk menunjukkan betapa pentingnya amalan membaca dalam mencari ilmu pengetahuan.
Pihak sekolah telah memainkan peranan menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar dengan mengadakan pelbagai program, kempen dan aktiviti seperti Program Nilam, menganjurkan Bulan Bahasa, pertandingan bercerita, bersajak, menulis cerpen, mengadakan sudut bacaan dalam kelas dan lain-lain lagi.
Namun tabiat malas membaca terutama di kalangan pelajar sekolah terus menjadi satu isu yang tak berkesudahan. Di mana silapnya?
Pada perkiraan saya, tabiat malas membaca ini adalah umpama penyakit dalam diri sendiri. Berjumpa doktor atau pakar kesihatan sekalipun tidak mampu mengubati sikap malas membaca ini. Sebenarnya tidak ada sesiapa yang boleh membantu kecuali diri kita sendiri.
Dari aspek lain, dalam masyarakat kita, penyuburan sikap suka membaca di kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi tidak dipupuk. Ibubapa tidak sanggup memperuntukkan perbelanjaan bulanan untuk membeli bahan-bahan bacaan untuk anak-anak. Dalam ertikata lain, tabiat membaca bukanlah satu budaya dalam masyarakat kita. Ini amat berbeza dengan orang Jepun yang menjadikan membaca satu budaya. Itulah antara sebab mereka lebih maju dan berjaya daripada kita. Budaya membaca perlu diterapkan dalam masyarakat negara kita.
Selain itu, membaca itu sendiri bersifat relatif, maksudnya jenis atau bahan bacaan yang di baca berbeza bagi sesetengah orang. Tiada penanda aras tentang bahan bacaan yang perlu dibaca oleh seseorang. Adakah dengan banyak membaca bahan bacaan seperti komik dan majalah hiburan atau masakan maka bolehlah kita katakan seseorang itu mempunyai budaya membaca yang sihat?
Usaha memupuk tabiat suka membaca memang sukar dilakukan. Ia bukan boleh berlaku dalam tempoh sehari dua. Ia memerlukan keazaman dan komitmen yang tinggi dari semua pihak. Yang paling penting ialah perlu adanya satu proses permulaan dan tiada yang lebih tepat dan sesuai melainkan tapak awalnya bermula di rumah dimana ibubapa sendiri perlu menunjukkan tabiat suka membaca kerana yang paling mudah diikuti oleh anak-anak ialah apa yang dilakukan oleh ibubapa mereka. Pendidikan sebenarnya bermula dari rumah. Ibu bapa perlu menunjukkan minat membaca semasa di rumah supaya menjadi teladan kepada anak-anak. Ibu bapa hendaklah kerap membawa anak-anak ke pameran atau karnival buku selain kedai-kedai buku.
Di peringkat sekolah, ganjaran atau pemberian hadiah untuk pelajar dalam sebarang program dan aktiviti sekolah hendaklah menjurus ke arah memartabatkan budaya membaca. Maka pemberian hadiah dalam bentuk buku-buku ilmiah atau baucer untuk membeli buku dilihat lebih sesuai untuk memupuk semangat dan suasana membaca di kalangan pelajar.. Hadiah dalam bentuk barangan elektrik atau basikal lebih sesuai untuk cabutan bertuah dalam majlis keramaian.
Pendekata, usaha menanam minat membaca dalam kalangan pelajar bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak sekolah, malah ibu bapa dan masyarakat harus memainkan peranan.

Saturday, 26 May 2012

PERKHEMAHAN PERDANA


KENANGAN...
Mengikut perancangan, Perkhemahan Perdana Unit Uniform SMKPJ di Pantai Merdeka  selama 3 hari 2 malam iaitu dari 24-26 Mei 2012. Aku tak dapat join pada hari pertama perkhemahan kerana menghadiri mesyuarat ULKCP BI untuk Pentaksir di Safira Country Club, Seberang Perai Utara dari 23-24 Mei 2012.
Namun perancangan untuk berkhemah dan melaksanakan semua aktiviti selama 3 hari tidak kesampaian. Peristiwa malang berlaku pada malam pertama perkhemahan apabila ribut melanda lebih kurang 12 tengah malam. Atas nasihat pihak tertentu, perkhemahan tersebut terpaksa di tamatkan lebih awal. Semua peserta dibenarkan pulang pada hari kedua lebih kurang 6.30 petang.
Jelas terpancar kekecewaan di wajah para peserta apabila diberitahu perkhemahan terpaksa ditamatkan lebih awal tapi apa boleh buat. Tiada apa yang lebih penting daripada keselamatan para peserta.
Aku terus bermalam di situ sehingga keesokan hari kerana telah menempah chalet untuk keluargaku. Malam itu, selepas maghrib ribut melanda sekali lagi. Namun aku bersyukur kerana para peserta sudah kembali ke rumah masing-masing.
Benarlah kata, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Aku bersyukur kerana semuanya selamat dan tiada kemalangan jiwa berlaku.
MAKAN SEBELUM PULANG
SELAMAT PULANG...

Tuesday, 15 May 2012

HARI GURU


Hari Guru datang lagi. Tanggal 16 Mei dianggap sebagai hari yang amat bermakna buat insan yang bergelar guru. Besar sekali pengorbanan dan jasa guru sehingga sering diibaratkan sebagai lilin membakar diri menerangi orang lain. Walaupun tema Hari Guru silih berganti tetapi tugas dan tanggungjawab guru menabur bakti tetap sama.
Tahun ini merupakan yang ke 27 aku mencurah khidmat bakti dalam bidang perguruan. Satu tempoh masa yang agak lama penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan, pengalaman manis, pahit, suka dan duka.
Mengimbau kenangan kembali, kisah bermula dengan posting pertamaku di Baling. Walaupun rasa kecewa dan keberatan atas penempatan tersebut, aku menyahut cabaran dan tabah mengharungi liku-liku kehidupan sepanjang masa berada di sana. Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa penempatan di Baling akan mencorak sebahagian besar hidupku. Di situlah aku memeluk Islam, di situ jugalah aku bertemu jodoh dengan bekas anak muridku.
Bagi diri aku, apa yang berlaku sepanjang karierku sebagai seorang guru, walau perit dan pahit mana sekalipun, aku terima semuanya sebagai realiti sebuah kehidupan. Aku sedar dan terima bahawa dalam melayari kehidupan ini memang ada cabaran dan dugaan. Tidak lengkap kehidupan tanpa cabaran.
Buat semua insan yang bergelar guru, khasnya bekas guru-guruku di Pulau Pinang, Selamat Hari Guru dimana jua anda berada, jasamu akan dikenang selamanya.

Monday, 14 May 2012

IBU


Selepas solat Jumaat pada 11 Mei 2012, aku bergegas pulang ke rumah ibuku di Pulau Pinang. Walaupun aku tidak membawa buah tangan kecuali kopi O cap keretapi kegemaran ibuku, namun kepulanganku disambut dengan kegembiraan yang jelas terpancar di wajahnya.
Namun aku berasa sedikit terkilan apabila tidak dapat menyahut pelawaan ibu agar bermalam di rumahnya kerana ada kelas tuition BI di sekolah pada hari Sabtu. Aku sentiasa berdoa agar diberi banyak masa untuk kerap mengunjungi ibu. Aku sedar ibu memerlukan perhatian dan penjagaan rapi kerana selain usianya yang sudah lanjut beliau menghidap penyakit “osteoporosis”.
Sesungguhnya jasa dan pengorbanan seorang ibu tidak dapat diganti dengan wang ringgit. Oleh itu hargailah dan sayangkan ibu kita setiap masa, bukannya terhad kepada hari tertentu sahaja. Terima kasih ibu!!! Semoga Allah lanjutkan usia ibuku dan diberi hidayah. Amin.

Tuesday, 8 May 2012

ITULAH BOLA...

Permainan bolasepak memang sukar di ramal. Bak kata orang bola itu bulat. Pasukan pilihan yang memiliki pemain ternama dan popular tak semestinya menang. Meskipun dilimpahi dengan pemain bintang, ia bukan tiket automatik buat melakar kejayaan.
Status Barcelona dan Real Madrid sebagai kelab bolasepak gergasi dunia dengan memiliki Lionel Messi, pemain terbaik dunia dan Cristiano Ronaldo, pemain termahal dunia, tidak dapat dipertikaikan.
Namun kedua-dua kelab tersebut gagal melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara, pertandingan paling prestij dalam kancah bolasepak Eropah. Ini jelas memperlihatkan bahawa pasukan yang kuat dan digeruni tidak semestinya menang, manakala yang lemah tidak semestinya tewas. Pasukan Chelsea dengan 10 pemain boleh bangkit dari ketinggalan dua gol untuk menewaskan Barcelona dan seterusnya melangkah kaki ke final. Itulah bola! Kuat atau popular tidak semestinya menang!
Percaturan strategi dan perancangan yang mantap  serta persefahaman yang baik dan kukuh sebagai satu pasukan amat penting untuk melakar kejayaan. Kejayaan Jepun dan Korea Selatan di Piala Dunia 2002 menjadi saksi bagaimana perancangan jangka panjang yang sistematik dan profesional terhadap sukan bolasepak di negara mereka telah membuahkan hasil.
Begitu juga dalam konteks sesebuah organisasi, perlu adanya perancangan strategik serta kerjasama dan semangat kekitaan sebagai satu pasukan ke arah merealisasikan visi dan misi yang digariskan. Baik kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Maka akan wujud kepuasan dan kegembiraan hati semua anggota dalam organisasi dan mengelakkan berlakunya perbalahan.

Thursday, 3 May 2012

HANYA SATU KEINGINAN...


Pernahkah anda membaca atau mendengar kisah “The Big Apple Tree”? Intipati kisah ini memaparkan bagaimana seorang ibu atau bapa sanggup mengorbankan segala-galanya, hatta dirinya sekali demi kasih sayangnya terhadap anak. Sebaliknya hanya satu keinginan sahaja bagi seorang ibu atau bapa, sentiasa mengharapkan dan merindui kehadiran  anak di sisi menemaninya di usia tuanya, bukannya nilai harta benda atau sebarang bentuk kebendaan dan kemewahan yang dicurahkan tanpa kehadiran anaknya. Maka seseorang anak hendaklah sentiasa mengenang jasa dan membalas budi mereka dengan sentiasa mengunjungi mereka, dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan dan keberkatan hidup mereka. 
Jangan sampai bila ibubapa dah tiada barulah kita menyesal kerana tidak menunaikan tanggungjawab seorang anak. Jangan bila ibubapa kita dah tiada, barulah kita sedar yang banyak perkara sebenarnya kita boleh lakukan bersama ketika mereka masih hidup! Bila itu semua terjadi, ianya sudahpun terlambat sebab tiada makna lagi walaupun menangis air mata darah, menangis penyesalan yang tak bertepi. Hakikatnya, kita hanya ada seorang ayah dan seorang emak.

“A parent is someone you look up to no matter how tall you grow.”

Wednesday, 2 May 2012

TANDAS AWAM TANGGUNGJAWAB AWAM

Seringkali kita mendengar rungutan tentang kebersihan tandas awam.  Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pengguna tandas awam hanya mementingkan diri sendiri, lepas buang blah macam tu je…langsung tidak bermoral, tidak punya kesedaran sivik. Amat menyedihkan apabila perkara yang wajib kita lakukan iaitu flush selepas guna tandas pun perlu diberitahu dan diingatkan!
Kebersihan tandas adalah tanggungjawab bersama. Jangan jadi pengotor! Jangan jejaskan imej negara di mata pelancong asing! Jangan terlalu mementingkan diri sendiri! Ingatlah kebersihan sebahagian daripada iman. 

Tuesday, 1 May 2012

AMBIL IKTIBAR...HARGAILAH KEAMANAN NEGARA!!!


Perhimpunan haram Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada 28 April yang lalu menjadi saksi kepada betapa biadapnya dan tidak bertamadun sesetengah rakyat di negara ini.
Mereka memekik dan melolong bahawa mereka punya hak untuk berhimpun di Dataran Merdeka atas alasan mereka adalah rakyat negara ini. Mereka bertindak merempuh sekatan polis, merosakkan kereta peronda polis dan memukul polis yang bertugas menjaga keselamatan awam.
Tindakan mereka jelas menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang negara. Dimanakah letaknya kredibilti mereka sebagai rakyat negara ini?
Negara ini tiada tempat untuk mereka yang hanya tahu mencabul kedaulatan undang-undang negara, yang hanya tahu mencetuskan anarki dan mencemarkan imej negara yang mereka dakwa sebagai rakyat.
Negara kita yang didukung oleh kerajaan yang berkuasa pada hari ini adalah atas kehendak dan suara majoriti rakyat berteraskan sistem dan amalan demokrasi berperlembagaan. Jelas sekali majoriti rakyat negara ini menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang negara dan idamkan keamanan dan keharmornian negara.
Bukankah mereka itu juga rakyat negara ini yang punya hak untuk hidup dengan aman dan harmoni?

Saturday, 28 April 2012

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI...

Pertandingan kawad antara unit uniform sempena Hari Kokurikulum SMKPJ telah berlangsung pada 28 April 2012. Saya bersyukur kerana pasukan kawad PBSM telah berjaya membuat persembahan yang agak baik. Tahniah pasukan kawad PBSM atas semangat juang dan daya ketahanan tinggi yang ditunjukkan.Tidak sia-sia penat 
lelah berlatih setiap petang.
Buat pasukan kawad PBSM, janganlah kecewa dan berputus asa kerana tidak berjaya mendapat tempat. Ingatlah bahawa kejayaan tidak hadir semalaman. Ia memerlukan masa untuk mencapai tahap konsisten dan membentuk persefahaman antara ahli dalam pasukan.
Semoga penyertaan sulong ini akan menjadi medan untuk pasukan kawad PBSM bertambah mantap dan menjadi dorongan untuk mencapai kejayaan pada tahun hadapan.

.

Friday, 27 April 2012

APA BOLEH BUAT...


Negara kita mempunyai infrastruktur jalanraya terbaik di kalangan negara membangun. Namun setiap saat, setiap detik, setiap waktu berlaku kemalangan di jalanraya. Saya tertarik dengan satu Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Pengarah JPJ Pulau Pinang mengatakan bahawa kemalangan di jalanraya disebabkan pemandu menjadi bebal di jalanraya. Dalam ertikata lain, mereka sengaja menempah nahas atau maut.Agak menghairankan kerana golongan ini bukan jenis yang tidak berpendidikan, bukannya buta huruf tak erti undang-undang jalanraya, malah dikalangan mereka itu terdiri daripada peguam, guru, pengarah dan pegawai atasan yang lain. Di tempat kerja mereka menguatkuasakan undang-undang dan peraturan tapi di jalanraya mereka menjadi dungu, tak faham peraturan jalanraya. Agaknya mereka ini dah bosan dengan hidup atau apakah mereka ini tidak sayangkan isteri dan anak-anak? Malang buat isteri dan anak-anak andainya mereka ini mati atau cacat akibat kemalangan. 
Saya tertarik dengan beberapa slogan yang dicadangkan oleh mereka yang prihatin tentang keselamatan di jalanraya, antaranya ‘Tekan Minyak Lagi, Biar Cepat Mati’,
‘Tiada Siapa Rugi Jika Anda Mati’. Saya berpendapat tiada gunanya dipaparkan slogan sedemikian kerana ia akan mengundang kegilaan ego yang lebih memuncak di kalangan mereka yang memang gila apabila berada di jalanraya.
Adalah jelas bahawa sikap pemandu merupakan punca utama berlaku kecelakaan jalanraya. Apa boleh buat? Kalau sikap pemandu sendiri yang tidak mahu berubah maka tidak ada gunanya walau diadakan banyak mana pun slogan atau operasi!

Saturday, 24 March 2012

JANJI MANISmu???


Kata pepatah Melayu lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Maknanya janji yang sudah diucapkan mestilah ditepati kerana harga manusia terletak pada janjinya itu.
Agaknya kerana lembu suka berak merata menyusahkan orang maka perlu dipegang atau ditarik dengan tali, biar berdarah hidungnya sekalipun agar tidak berak sini sana menyusahkan orang, tapi manusia yang suka menabur janji sini sana tapi tak pernah menepati atau menunaikannya agaknya patut ditumbuk biar berdarah hidung kerana menyakitkan dan mengecewakan orang dengan janji-janji palsunya kemudian memberi bermacam-macam alasan sebab memungkiri janjinya.
Kita boleh buat 1001 macam janji tapi pastikan kita mampu menunaikannya. Janganlah kita jadi manusia yang hanya pandai menaburkan janji, janji dan janji tapi susah sekali nak mengotakan janji-janji tersebut. Ingatlah janji yang dibuat mestilah ditunaikan. Berhati-hatilah mengucapkan janji pada orang lain kerana memungkiri janji akan makan diri. Janji adalah hutang dan oleh itu ia harus ditepati. Belajarlah menepati janji!

Saturday, 23 July 2011

DURIAN


Durian adalah buah yang tidak asing bagi penduduk negara kita. Ramai penduduk negara kita amat ‘memuja’ durian.  Bagi mereka buah durian terlalu sedap, nikmatnya tak terhingga sampai menjilat kulit!
Perkataan durian itu sendiri banyak digunakan sebagai kiasan dalam peribahasa Melayu. Sebagai contoh dapat durian runtuh, seperti durian dengan mentimum menggelek luka, kena gelek pun luka. Walaupun peribahasa tersebut mempunyai makna yang mengandungi kebenaran, janganlah ada diantara kita yang megah menganggap diri sebagai durian dan orang lain sebagai mentimun.
Kalau ditakdirkan kita sebagai durian dalam konteks kerjaya, maka jadilah durian yang digemari orang kerana nikmat isinya, bukannya kerana simbol kuasanya. Janganlah jadi durian yang menakutkan orang dengan duri-durinya. 
Samada kita adalah durian atau mentimum, kita semua ada peranan dan tanggungjwb masing-masing. Setiap dari kita punya kelebihan dan kekurangan tersendiri. Kita tidak perlu tunduk kepada sesiapa melainkan hanya kepada Allah SWT.  Durian hanyalah buah untuk dikopek dan dinikmati!

Thursday, 3 June 2010

PENGALAMAN PALING BERHARGA

Semua orang punya pengalaman hidup masing-masing; pengalaman manis, pahit, suka, duka mahupun pengalaman hitam dalam perjalanan hidup mereka. Banyak yang boleh diperkatakan, yang boleh diceritakan, dikisahkan dari pengalaman-pengalaman tersebut. Tetapi ada pengalaman yang terus menjadi rahsia, yang terus tersembunyi, terpahat jauh di lubuk hati sehingga ke akhir hayat. Namun jika dipendam keseorangan akan menyakitkan jiwa dan pemikiran. Maka ada kalanya kita terpaksa meluahkan masalah atau rahsia diri demi melapangkan jiwa daripada rasa kekesalan.
Bagi diriku, pengalaman bersama bekas isteri merupakan ujian yang paling getir buatku. Itulah kesilapan besar yang aku lakukan dalam hidup. Bukan nak membuka pekung di dada, tapi sekurang-kurangnya menjadi teladan dan pengajaran untuk tatapan semua.

Saturday, 1 May 2010

KAWAN

Pada perkiraan saya, ada empat jenis kawan yang kita boleh jumpa di tempat kerja. Yang pertama, kawan yang hanya sekadar menawarkan simpati apabila kita kesedihan ditimpa masalah atau musibah.  Kawan yang sekadar menepuk-nepuk bahu kemudian lantaklah apa nak jadi dengan kita. Kawan jenis ini hanya sesuai  dijadikan sandaran untuk mengisi masa boring.  Apapun kawan jenis ini lebih baik daripada mereka yang mengambil sikap berkecuali, dia sebenarnya pentingkan diri sendiri, ironisnya dia tetap mau berkawan, jelas sekali ada udang disebalik batu.  Kawan jenis ini eloklah ditolak masuk sungai. Peduli apa kalau dia dihanyutkan arus atau dibaham buaya. Pandai-pandailah selamatkan diri.
Yang ketiga adalah kawan yang berlagak bagus, umpama  ayam bertelur sebiji riuh sekampung.  Kawan jenis ini pandai bermuka-muka, sanggup melutut sembah di depan ketua, bukan main lagi dia dengan bahasa puji-pujiannya sampai boleh berasap punggung orang yang mendengar kata-kata pujiannya, tapi di belakang kata-kata cemuhannya begitu dasyhat, sampai hantu pun naik geli mendengarnya, sampai nenek moyangnya dalam kubur pun terasa bahangnya. Inilah apa yang kita katakan sebagai manusia talam dua muka. Hipokrit sungguh mereka ini!!! Kawan jenis ini elok dibakar hidup-hidup, biar jadi abu, hilang segala identitinya.
Yang kempat ialah golongan yang hampir pupus iaitu kawan yang sebenar-benarnya kawan dalam ertikata sebenarnya, kawan sehati sejiwa, kawan yang sanggup berkorban demi sebuah persahabatan. Mereka tidak akan menjadi api dalam sekam. Merekalah kawan masa suka dan duka, sanggup meluangkan masa berkongsi segala masalah dan pemasalahan hidup bersama.  Kawan jenis ini mesti dipupuk, dijaga, diabadikan dalam hidup kita agar kekal bersama-sama kita selagi nyawa dikandung badan.
Saya sedar bahawa bukan mudah untuk mencari kawan sejati, ia umpama mencari jarum dalam jerami. Terimakasih kepada mereka yang ikhlas menjadi kawan saya. 

Thursday, 3 December 2009

MELEPASKAN ANJING TERSEPIT


Pernah tak tengok anjing tersepit? Berhati-hatilah taringnya cukup tajam!
Ibarat memberi anjing makan tapi mengigit balik tangan yang menyuapnya, terdapat golongan yang langsung tidak menghargai segala usaha dan pemberian kerajaan. Begitu juga seperti melepaskan anjing yang tersepit, golongan ini tidak tahu bersyukur dan berterimakasih setelah diberi bantuan atau pertolongan, hanya tahu mengigit-gigit sahaja. Golongan ini hanya sesuai menjadi pemimpin jalanan, macam anjing-anjing liar yang berkeliaran di jalan.
Justru, pihak kerajaan hendaklah berhati-hati dan berwaspada jika nak ‘melepaskan anjing yang tersepit’.
Bukan maksud saya bahawa kita perlu ‘menyembah’ kerajaan, ada ketikanya kita perlu mengkritik tetapi biarlah kritikan-kritikan tersebut berasas, sahih, tulen dan membina. Pada masa yang sama kita janganlah lupa untuk menghargai sumbangan dan kejayaan kerajaan. Bukannya hentam keromo kerajaan sepanjang masa, sepanjang jalan, sepanjang hidup kita.     

Saturday, 28 November 2009

DORONGAN WANG


Siapa yang tak ingin menjadi kaya dan hidup mewah lebih-lebih lagi jika diberi peluang melalui jalan mudah dan pantas? Keinginan untuk cepat kaya dengan jalan mudah dan pantas telah menghilangkan pertimbangan kewarasan di dalam diri sesetengah orang sehingga sanggup meminjam atau mengeluarkan duit simpanan mereka untuk melabur di dalam pelbagai skim cepat kaya atau melabur di dalam pasaran pertukaran mata wang asing.  Namun seringkali kita dapati hajat besar mereka ini berakhir dengan mengalami kerugian lalu tersungkur dan terpaksa menanggung hutang keliling pinggang. Kasihan sungguh!  Skim atau pelaburan yang diharapkan untuk menjadikan mereka cepat kaya tidak menjadi, sebaliknya telah berubah menjadi skim cepat miskin.  Sebab nak kaya cepat nak untung cepat semua nak cepat akhirnya  miskin pun cepat!
Dimana silapnya? Adakah ia berpunca dari kesilapan kita sendiri yang terlalu tamak? Apakah kita sudah tidak ingat lagi akan peribahasa Melayu yang mengatakan bahawa orang tamak selalu rugi?
Adakah hanya dengan bergoyang kaki tanpa berusaha wang ringgit akan datang bergolek kepada kita? Bukankah itu bertentangan dengan norma kehidupan?  Jangan kita lupa kata orang tua-tua bahawa rezeki tidak akan datang bergolek!  Tidak ada gunanya kita menyalahkan sesiapa kerana nasi sudah menjadi bubur. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak melabur diri sendiri yang tersungkur! Apa yang penting ialah ambillah iktibar dari apa yang berlaku, belajarlah dari kesilapan dan pengalaman. Anggaplah semua yang berlaku sebagai satu dugaan. Ini bukan soal hidup atau mati. Yang pastinya akan ada hukuman Allah yang menanti golongan penganjur skim tersebut, kalau bukan di dunia ini akan lebih azab lagi di akhirat kelak.
Janganlah kita memandang wang ringgit sebagai ukuran hidup!!!

Saturday, 8 August 2009

LET SLEEPING DOG LIES

It is to our knowledge that the tolerancy and harmony of the races in Malaysia has never been good. In the history of Malaysia the racial harmony among the Malaysian communities has time and again been tested.
According to a survey the majority of Malaysians do not trust one another and seek refuge in their own ethnic community. Racial and religious sensitivities run deep in Malaysia.
As acknowledged by our ex-Premier, race and religion remain divisive issues in Malaysia even after fifty years of independence.
My view is that racial harmony has been and will always remained tense .The problem with the communities in Malaysia stems from the different aspirations of the different races in Malaysia.
In this respect, any attempts by the media, politicians- the ruling party and opposition alike-, to flame racial sentiment or to incite racial feelings and suspicion and harp on issues related to race if left unchecked, a repeat of the May 13 tragedy will be imminent.
This is where the government needs to have powerful tools and security measures to enforce law and order in the country. In this aspect, it is without a single doubt that the Sedition Act and the ISA (Internal Security Act) are still relevant to this very day.
Recent calls by the Opposition for unrestricted press freedom and to abolish the Printing Presses and Publications Act as well as to free all ISA detainees are unjustified. As voiced out by Tun Mahathir greater freedom of expression will stoke inter-ethnic tensions.
Matters pertaining to the New Economy Policy, the special positions of the Malays, the National Language Act and Sovereignty of the Rulers should be discussed behind closed doors. The Constitution should be held supreme at all times.
It is a fact that racial awareness will always be in the hearts and minds of the different races here. And it is for this very reason that we have to draw a line in order to foster national unity and racial harmony. And the solution is as simple as this - Do not stir up trouble by discussing sensitive issues. Let sleeping dogs lie.